Irfan (kiri) bersama Gonzalo dan kapten Selangor FC, Danish Irfan Ezal serta ketua jurulatih, Muhammad Firdaus Aziz dalam sidang akhbar menjelang aksi final ke-2, Piala Presiden di Stadium MBPG, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Pengendali Johor Darul Ta’zim III, Gonzalo San Zaballos mahu semua anak buahnya mengulangi aksi cemerlang sebelum ini dalam Final ke-2, Piala Presiden 2024, di sini, esok.

Beliau berkata, semua pemain perlu beraksi sebaik mungkin semasa berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini.

Gonzalo mahu barisan pemainnya kekal dengan persembahan terbaik sebagaimana dipamerkan pada aksi Final 1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 November lalu.

“Perlawanan kali ini ibarat aksi di ‘separuh masa kedua’ di mana semua pemain perlu berusaha keras untuk menyempurnakan tanggungjawab (permainan).

“Tiada istilah ‘pemain harapan’ atau ‘ayam tambatan’ dalam pasukan ini kerana kesemua pemain adalah penting dan saling memerlukan antara satu sama lain.

“Oleh itu, pemain diharap dapat mengekalkan sikap dan menikmati setiap detik perlawanan ini dalam usaha melakar kejayaan,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium MBPG, hari ini.

Untuk rekod, JDT III menang 2-1pada aksi Final 1, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 November lalu.

Selaku juara bertahan, JDT III dilihat berpeluang untuk melakar hatrik kali ini setelah melakukannya pada musim 2022 dan 2023.

Sementara itu, Kapten JDT III, Irfan Shahkimi berkata, beliau dan rakannya akan cuba memberi aksi terbaik sekali gus membuka peluang untuk melakar juara buat kali ketiga berturut-turut.

“Alhamdulillah, first leg kita menang di MBPJ, di MBPG esok, kita akan cuba sedaya upaya dan lakukan yang terbaik untuk malam esok,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast