KUALA LUMPUR – Kes kehilangan Pastor Raymond Koh yang diculik pada 2017 dan seorang lagi aktivis sosial Amri Che Mat pada 2016 masih diteruskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberi jaminan siasatan tidak akan terhenti untuk mengesan mangsa dan suspek yang bertanggungjawab.
“Namun saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil siasatan ke atas kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh yang masih tidak dapat dikesan.
Saifuddin juga berkata, PDRM sudah membuka kembali kertas siasatan kes Beng Hock di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).
Kertas siasatan itu dikemukakan kepada pihak pihak Jabatan Peguam Negara (AGC), namun pihak AGC mengembalikan kertas siasatan kepada PDRM pada 6 Ogos lalu untuk siasatan lanjut.
“Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan, saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















