KOTA KINABALU – Pesta Buku Borneo 2024 (PBB 2024) akan diadakan pada 13 hingga 17 November di Kinabatangan Hall III, Sabah International Convention Centre, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

PBB 2024 kali ini diadakan dengan tema “Borneo Membaca,” yang menggambarkan kepentingan membaca dalam pembangunan ilmu dan pendidikan di Borneo, selain objektif utamanya untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat Sabah dan meluaskan pasaran penerbitan di negeri ini.

Universiti Malaysia Sabah berkata, dijangka beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar akan berkunjung ke PBB.

Lebih 90 reruai pempamer penerbit buku komersial dan akademik antarabangsa dan tempatan, pempamer alat bantu mengajar dan produk inovasi yang menyertai pesta buku terbesar ini.

Selain Penerbit UMS sendiri selaku penganjur dan pempamer, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, PTS Publishing, Popular Book, MAPIM, FIXI, The Patriot, Naseehat dan banyak lagi penerbit dan pengedar buku terkenal turut menyertai pesta buku ini.

PBB turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik khusus untuk semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah bicara buku, forum buku, pelancaran buku, bengkel STEM, persembahan teater, pertandingan mewarna, cabutan bertuah, kuiz dan sebagainya.

Para pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis tempatan dan menebus baucar buku Madani di pesta buku ini.

Menurut Penerbit UMS, pesta buku ini menyediakan platform terbaik bagi pembekal dan penerbit untuk memperkenalkan karya terbaru mereka kepada masyarakat, selaras dengan objektif untuk memartabatkan bahan bacaan ilmiah tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast