Selangor FC akan bertemu JDT III dalam aksi Final ke-2, Piala Presiden 2024 di Stadium MBPG, Pasir Gudang, esok

PASIR GUDANG – Pengendali Selangor FC, Muhammad Firdaus Aziz berkata, pasukannya tidak akan sekali-kali luntur semangat walaupun ketinggalan 1-2 dalam aksi final Piala Presiden 2024.

Beliau berkata, skuad Merah Kuning itu mahu beraksi mantap apabila berdepan JDT III pada aksi Final ke-2 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini, esok.

Muhammad Firdaus mahu pemainnya menunjukkan aksi sebagaimana dalam babak kedua aksi Final 1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini.

Katanya, ini kerana kesebelasan pemain dilihat beraksi lebih baik pada babak kedua berbanding babak pertama hingga mengubah keputusan perlawanan.

“Kami akan cuba beraksi sebagaimana aksi di separuh masa kedua aksi Final 1 lalu di mana semasa separuh masa pertama kami agak kurang disiplin.

“Tetapi pada separuh masa kedua kami mula bangkit dan momentum itulah yang kami cuba ke sini,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium MBPG, hari ini.

Untuk rekod, kali terakhir, skuad Merah Kuning muncul juara pada musim 2017.

Katanya, daripada segi persiapan, rata-rata pemain dilihat bersemangat dan memberi komitmen terbaik menjelang perlawanan esok.

Sementara itu Kapten Selangor FC, Danish Irfan Ezal mengharapkan kesebelasan pemain yang diturunkan dapat menangani tekanan di sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun katanya, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan pemain perlu bersedia di sepanjang 90 minit perlawanan.

“Sekali lagi syukur kita ada di final kedua, tapi kita tak boleh selesa… dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi.

“Tekanan tu biasa, yang penting, pemain tak boleh rasa selesa dan perlu berikan 200 peratus di sepanjang perlawanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast