KUALA LUMPUR – Seramai 31,481 penjawat awam memilih untuk bersara awal dalam tempoh tiga tahun antara 2022 hingga September tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia merupakan jumlah tertinggi direkodkan tahun ini membabitkan 8,199 orang.
Katanya, jumlah penjawat awam yang bersara awal (bagi tahun ini) sehingga September lalu mengikut kategori bawah 50 tahun adalah seramai 826 orang.
“Bawah 55 tahun pula adalah sderamai 5,569 orang dan bawah 60 tahun iaitu 1,804 orang.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sehingga September 2024 seramai 8,199 orang,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengenai jumlah penjawat awam yang bersara awal mengikut kategori bawah 50 tahun, 55 tahun dan bawah 60 tahun daripada Januari 2020 sehingga Ogos lalu.
Memperincikan jumlah penjawat awam yang bersara awal bagi 2022, Zaliha berkata, kategori umur 55 tahun merekodkan angka tertinggi iaitu 7,379 orang.
Sementara bagi kategori bawah 50 tahun, penjawat awam yang bersara awal adalah seramai 979 orang, manakala, bagi umur bawah 60 tahun membabitkan 2,702 orang.
Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan persaraan awal penjawat awam yang direkodkan sepanjang 2022 adalah 11,065 orang.
“Bagi jumlah penjawat awam yang bersara awal bagi tahun lalu, kategori bawah 50 tahun adalah seramai 1,166 orang, bawah 55 tahun seramai 8,099 orang dan bawah 60 tahun, 2,952 orang.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2023 seramai 12,217 orang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette