KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat insurans diminta menjelaskan pendirian masing-masing berhubung arahan Bank Negara Malaysia (BNM) agar menyemak strategi penentuan semula harga premium insurans kesihatan yang dikenakan kepada pengguna bagi memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.
Syarikat-syarikat penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) bertanggungjawab untuk memberi jawapan kepada pencarum kerana mereka berhak mendapat jawapan yang jelas dan tuntas, kata beberapa ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kenyataan bersama kepada media di Parlimen, hari ini.
“Kedua, kami juga ingin memohon Bank Negara Malaysia menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku. Adakah caruman insurans akan naik seperti yang dirancang oleh ITO?
“Adakah BNM akan memberi arahan kepada syarikat-syarikat ITO untuk mengkaji semula kenaikan? Apakah tindakan BNM ke atas syarikat ITO yang mengingkar arahan BNM?” soalnya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Phuah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari; Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Mun.
Menurut kenyataan itu, bank pusat itu diminta menjelaskan keadaan sebenar kerana kekeliruan yang berlaku turut menjejaskan nama baiknya.
Terdahulu, kenyataan itu menyatakan sejak kebelakangan ini orang ramai mengadu kepada wakil rakyat PKR berhubung kenaikan caruman premium insurans perubatan dan kesihatan.
Katanya, dalam tempoh 14 hari, wakil rakyat PKR telah mendapat lebih 147 aduan melalui e-mel, telefon dan whatsapp yang menunjukkan kemarahan rakyat terhadap kenaikan mendadak premium insurans.
“Pada 28 November 2024, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan kenyataan yang bertajuk “Kebimbangan Berkenaan Pelaksanaan Penentuan Semula Harga Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan” di mana Bank Negara Malaysia telah “menghendaki ITO (insurers and takaful Operators) untuk menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar.
“Kenyataan ini disambut baik oleh rakyat, kerana Bank Negara Malaysia sudah mendengar suara hati mereka dan rakyat mengharapkan pembelaan kerana BNM adalah “regulator” kepada semua syarikat-syarikat ITO di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Act).
“Bagaimanapun, pada 3 Disember 2024, Persatuan Insurans Hayat Malaysia yang mewakili syarikat-syarikat ITO telah mengumumkan bahawa kenaikan insurans akan dikekalkan. Ketua Pegawai Eksekutif Mark O’Dell memberitahu bahawa syarikat insurans hanya bersetuju untuk melaksanakan pelarasan harga semula secara beransur-ansur pada masa depan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, jawapan yang diberikan jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM.
“Kami, mewakili pencarum-pencarum, ingin menanya syarikat-syarikat insurans dan Takaful, adakah mereka akan akur arahan Bank Negara Malaysia?
“Atau mereka akan hanya akan melaksanakan penentuan semula harga pada tahun-tahun akan datang?
“Adakah Persatuan Insurans Hayat Malaysia mewakili semua syarikat insurans?,” soalnya. – MalaysiaGazette