KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang dalam proses membangunkan galeri dan menaiktaraf Muzium Lipis untuk mempromosi daerah Lipis sebagai hab pelancongan warisan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, galeri itu akan dibina berdasarkan tema yang telah diselaraskan iaitu pengenalan galeri, kesultanan Melayu Pahang, istana dan kesenian, hubungan raja dan pembesar dan sosio-budaya masyarakat serta tokoh tempatan.
“Galeri ini juga bukan berfungsi sebagai galeri pameran sahaja tetapi akan ditambahbaik dengan mengikuti trend terkini seperti kemudahan kafe, kemudahan internet dan perpustakaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang berkata pada sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15, di sini, hari ini.
Tambahnya, Muzium Pahang juga telah mengikut garis panduan yang ditetapkan Internation Councils Of Museum (ICOM) bagi mengorak langkah ke arah yang lebih moden dan intelektual, sekaligus menerapkan setiap garis panduan ini dalam menaiktaraf Muzium Warisan Lipis. – MalaysiaGazette
















