KUALA LUMPUR- Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) telah memeterai satu kerjasama strategik dengan Beta Maju Sdn. Bhd sebagai usaha mengembangkan bidang sains sukan.
Ia dicapai menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LoI) di antara kedua-dua pihak yang bakal memperkukuh kolaborasi dalam penyelidikan ergogenik pemakanan, pembangunan produk makanan prestasi, dan pemasaran sains sukan.
Dekan FPPS, Prof Madya Dr Soon Singh berkata kerjasama tersebut merupakan langkah strategik yang menghubungkan kepakaran akademik UMS dengan industri menerusi rangkaian Eureka Drinks yang dipasarkan syarikat tersebut.
“LOI ini bukan sekadar kolaborasi dalam penyelidikan tetapi merangkumi pemasaran produk dan pelaksanaan projek berkaitan sains sukan.
“Selain itu, ia memberi fokus kepada hubungan antara universiti dan industri, menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar sains sukan serta potensi kerjasama dalam bidang lain.
“Aspirasi bersama ini diyakini mampu memacu kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi serta memperkukuhkan hubungan antara universiti dan sektor swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kerjasama tersebut dijangka membuka dimensi baharu dalam pembangunan sains sukan di Malaysia, selain memberikan impak positif kepada pelajar, universiti dan industri.
Sementara itu, Pengarah Urusan Beta Maju, Fadzrul Dullie turut menyatakan keyakinan beliau terhadap sinergi yang bakal dilaksanakan kedua-dua pihak kelak.
“Kami menyambut baik kerjasama ini, terutamanya selepas melihat fasiliti dan kepakaran FPPS.
“Sebelum ini, kami telah bekerjasama dalam beberapa projek sebagai penaja, dan ini memperkukuhkan keyakinan kami terhadap peluang situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” ujar beliau.
Pemeteraian perjanjian dilaksanakan di antara Soon Singh yang mewakili UMS manakala Beta Maju diwakili Fadzrul.
Hadir sama, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPPS, Dr. Md. Safwan Samsir; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Roslee Talip; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Madya Dr. Rosy Talin, dan Ketua Pentadbiran FPPS, Victor Gondipon. -MalaysiaGazette