Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Wisma Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Kabinet secara dasar bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa melibatkan kementerian dan agensi untuk merangka model kerjasama perikanan laut dalam antara Malaysia dan Vietnam, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan berkenaan susulan daripada hasil perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ketika lawatannya ke Malaysia pada November lepas.

Jelasnya, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam industri perikanan dan maritim.

“Kabinet baru-baru ini telah membincangkan perkara ini hasil daripada idea kedua-dua pemimpin itu. Kemudian bersetuju secara dasar bahawa kita akan ada cabinet committee yang turut dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi lain.

“Secara prinsipnya kita nak mencari kaedah model yang terbaik untuk membolehkan kedua-dua negara dapat berkongsi kepakaran, pengalaman (berhubung) teknologi tangkapan ikan laut dalam. Kemudian kita akan dapat jalankan joint operation bagi membolehkan keuntungan itu dirasai kedua dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN bagi bulan Disember di sini hari ini.

Hadir sama pada perjumpaan itu Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.

Saifuddin Nasution turut menyentuh mengenai model sedia ada dalam bidang perikanan iaitu kerjasama antara Maghribi dan Kesatuan Eropah (EU) menerusi perjanjian melibatkan hasil laut.

“Melalui tandatangan (kerjasama) ini, negara Sepanyol yang juga merupakan negara EU, sekarang dapat hasil laut di kawasan perairan milik Morroco, jadi win-win model itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk terus meningkatkan kompetensi anggotanya dengan memperkukuhkan jaringan antarabangsa serta memperbaiki keupayaan aset bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan sempadan laut negara.

Beliau berkata, selaku agensi yang memainkan peranan penting dalam mengawal kawasan perairan Malaysia yang hampir mencecah 590,000 kilometer persegi, beliau berkata, Maritim Malaysia berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk kegiatan penyeludupan, pendatang tanpa izin serta serta pencerobohan kapal asing.

“..kerana sifat tugasnya yang begitu kompleks, Maritim Malaysia dengan kekuatan 5,400 anggota harus sentiasa meningkatkan kompetensi anggotanya. Yang kedua adalah terus menjalin hubungan kerja, jaringan kerja dengan agensi sama dari negara luar yang sekarang ini sudah berlangsung dengan baik.

“Kerana mengawal sempadan ini harus ada kerjasama dari sudut capacity buidling dan intelligence sharing,” ujarnya.

Menerusi langkah yang diambil bagi meningkatkan keupayaan dan kerjasama antarabangsa, katanya, Malaysia diharapkan dapat mengurangkan ancaman terhadap kedaulatan perairannya dan memanfaatkan hasil laut secara lebih berkesan.

Tambah beliau KDN juga akan membantu Maritim Malaysia dari segi keupayaan aset termasuk memantau status kemajuan pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir yang dijangka diterima dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast