KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan industri ternakan di Malaysia meningkat 23.2 peratus atau RM254.7 juta kepada RM1.4 bilion pada 2023.
Pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan permintaan terhadap ternakan dan produk berkaitan bagi memenuhi keperluan penggunaan domestik dan industri.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, industri ternakan di Malaysia telah mencatat perkembangan dan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada sektor pertanian negara.
Sektor ayam dan telur kekal sebagai penyumbang terbesar kepada subsektor ternakan dan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan protein rakyat Malaysia.
Nilai eksport ayam mencapai RM726.7 juta pada 2023, meningkat 27.0 peratus atau RM154.4 juta berbanding tahun lepas.
Sementara itu, pengeluaran telur di Malaysia terus mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM671.2 juta pada tahun 2023 serta memenuhi permintaan pasaran di peringkat serantau.
“Industri ruminan di Malaysia masih didominasi oleh sektor luaran. Nilai import lembu hidup meningkat pesat bagi memenuhi penggunaan domestik dengan peningkatan nilai import daripada RM82.8 juta pada 2022 kepada RM108.7 juta pada 2023.
“Nilai import ternakan untuk biri-biri dan kambing mencapai RM27.2 juta pada 2023 dengan Australia dan Indonesia kekal sebagai pengeksport utama ke Malaysia.
“Industri itik mencatatkan prestasi yang sangat kukuh pada tahun 2016 dengan jumlah nilai perdagangan RM4.6 juta,” ujarnya.
Namun, ia mengalami penurunan besar 93.7 peratus kepada RM45,124 pada tahun 2023.
Perdagangan babi di Malaysia meningkat daripada RM 141.7 juta pada 2022 kepada RM 179.1 juta pada 2023.
“Industri ternakan menghadapi ketidakseimbangan perdagangan yang mana jumlah import secara konsisten mengatasi jumlah eksport.
Pada 2023, defisit perdagangan bagi produk ternakan berjumlah RM849.1 juta dan menggariskan keperluan untuk campur tangan
strategik untuk meningkatkan pengeluaran dan daya saing tempatan.
Singapura terus menjadi destinasi eksport utama produk ternakan di Malaysia dengan menyumbang 96.4 peratus daripada jumlah eksport ternakan.
Vietnam dan Brunei juga merupakan sebagai destinasi eksport utama selain Singapura.
Sebaliknya, negara asal utama import ternakan ialah Australia, New Zealand dan Thailand, dimana secara kolektif menyumbang 84.8 peratus daripada jumlah import ternakan di Malaysia.
Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif untuk memastikan kemampanan sektor ternakan dan mengukuhkan rantaian bekalan.
Hal ini termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan, mengguna pakai teknologi pertanian termaju, dan mempelbagaikan sumber import.
Selain itu, usaha untuk meningkatkan pengeluaran tempatan, seperti memperluaskan program penternakan lembu dan kambing bagi bertujuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import dan menyokong objektif keselamatan makanan di Malaysia. – MalaysiaGazette