LONDON – Bos Manchester United, Ruben Amorim terus berdepan tekanan selepas Red Devils kalah 0-2 di tangan kelab bawahan Wolves, awal pagi tadi.
United kini kalah tiga perlawanan terakhir selepas tersingkir di tangan Tottenham 3-4 dalam aksi Piala Liga diikuti kekalahan 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth, Ahad lalu.
Dalam lima perlawanan terakhir liga, pasukan Amorim melepaskan gol sama ada menerusi tendangan penjuru atau sepakan percuma.
Amorim hanya menang dua daripada tujuh perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan United merudum ke tangga ke-14.
Malah lebih memburukkan keadaan, kapten Bruno Fernandes dibuang padang semalam ketika berkunjung di tempat lawan.
Tuan rumah mendedahkan kelemahan pelawat menerusi set-piece untuk meraih kemenangan genting yang melonjak Wolves keluar daripada zon penyingkiran.
Tugas United tidak mudah dengan Newcastle yang sedang dalam prestasi memuncak bertandang ke Old Trafford awal pagi Selasa ini.
Selepas itu United akan kunjungan ke pendahulu Liga Perdana Ingeris (EPL), Liverpool yang merupakan perlawanan pertama pada 2025 sebelum mereka berdepan Arsenal di gelanggang lawan pada pusingan ketiga Piala FA. – MalaysiaGaazette
















