KUANTAN – Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar menafikan dakwaan mengatakan pihaknya enggan menerima laporan polis yang ingin dibuat seorang penghantar barang.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesan satu imej tangkap layar dipercayai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung dakwaan terbabit pada pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Semakan lanjut pihak polis mendapati kandungan dalam aplikasi itu menyatakan terdapat seorang penghantar barang telah ditikam di bahagian mata oleh pelanggannya.
“Mangsa dikatakan pergi ke Pondok Polis Janda Baik, Balai Polis Bukit Tinggi dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk membuat laporan, namun pihak polis katanya enggan menerima laporan daripada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zaiham, hasil semakan mendapati pihaknya telah menerima laporan yang dibuat mangsa pada pukul 4.30 petang pada hari kejadian tersebut iaitu 24 Disember lepas.
Mangsa juga, katanya, telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mengulas lanjut, Zaiham memberitahu, kejadian pada pukul 3.30 itu berlaku di tempat letak kereta di sebuah pusat peranginan di Janda Baik, Bentong.
“Justeru, kandungan WhatsApp yang tular adalah tidak benar kerana polis menerima laporan polis mangsa dan menyiasat kes tersebut.
“Satu laporan polis juga telah dibuat pada pukul 3 petang semalam semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – MalaysiaGazette
















