Mr Ang dan isteri menunjukkan rumah mereka yang disimbah cat merah di Taman Nusa Bayu, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Seorang Eksekutif Pemasaran dan Jualan sebuah syarikat di Singapura kerugian lebih RM81,878 (S$25,000 SGD) akibat diperdaya scammer yang berlagak dan bertindak seperti along.

Mangsa yang berusia 29 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai Mr Ang berkata, semuanya bermula  pada 18 November lalu ketika melayari media sosial TikTok di Singapura dan menekan pautan iklan pinjaman berlesen yang berdaftar di republik itu.

Dia tertarik dan percaya untuk meminjam S$8,000 kerana syarikat terbabit mempunyai lesen sah.

Scammer itu memasukkan wang pendahuluan S$800 (RM2,620) dan meminta saya membayar S$1,200 (RM3,930) termasuk bunga. Setiap kali saya bayar semula akaun bank tidak sama.

“Sebelum habis saya bayar ansuran, mereka memasukkan $$400 (RM1,310) pada 13 Disember lalu dengan alasan tersalah ‘bank in’ dan jika saya mahu menerima atau menolak. Saya menolak dan diminta membayar S$500 (RM1,637).

“Apabila saya periksa saya ada lebihan bayaran sebanyak S$600 (RM1,965). Saya tanya kepada mereka bila boleh pulang semula duit saya. Tetapi mereka kata saya perlu buka akaun bank di sebuah bank dengan kos aktif dan penutupan akaun lebih S$4,000 (RM13,100).

“Mereka memberikan segala butiran dan dokumen yang lengkap umpama dari bank sebenar. Apabila saya minta cepat untuk bagi semula segala duit lebihan termasuk duit pengaktifan dan penutupan akaun, mereka meminta saya memindahkan wang lagi S$5,000 (RM16,375),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Nusa Bayu, di sini, hari ini.

Mr Ang berkata, dia meminta urusan dicepatkan untuk kembalikan wangnya, namun mereka memberitahu akauntan pihaknya tersilap dalam sistem dan meminta bayaran lagi S$5,000 (RM16,375).

Dia terus membayar jumlah itu dan segera meminta wangnya semula namun diberikan alasan sistem telah tamat selepas pukul 11 malam.

“Keesokkannya saya hubungi mereka dan mereka meminta saya membayar wang OTP sebanyak S$5,010 (RM16,408). Saya merasa tertipu dan segera membuat laporan polis di Singapura.

“Saya menelefon syarikat pinjaman kewangan tersebut mengikut nombor yang dibekalkan dan mereka memberitahu tidak menyediakan perkhidmatan pembayaran secara atas talian. Pinjaman diberi secara bersemuka termasuk menandatangani dokumen pinjaman.

“Syarikat itu juga dimaklumkan terdapat scammer yang menggunakan nama syarikatnya untuk memperdaya mangsa. Scammer yang saya berurusan sangat marah dan mengugut mahu membakar rumah saya di Taman Nusa Bayu kerana tidak mempercayainya dan membuat laporan polis,” katanya.

Jelas Mr Ang, pada Ahad lalu, kediamannya di tampal nota, kereta diluar pagar disimbah cat merah dan kediamannya juga disimbah cat merah.

“Saya bimbang keselamatan diri dan keluarga. Scammer itu yang perdaya saya dan berhutang dengan saya tetapi kini berlagak macam saya yang berhutang dengannya.

“Saya sudah membuat laporan pada 24 Disember lalu di Balai Polis Gelang Patah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast