KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan berkenaan penjualan saham Malaysia Aiports Holdings Bhd. (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2023 pada harga rendah.
Menurut beliau, KWSP ketika itu menjual saham MAHB pada harga antara RM5.40 hingga RM7.36 tetapi membeli semula setahun kemudian pada harga RM11.
Jelas beliau, tindakan KWSP menjual saham MAHB pada harga murah tetapi membeli semula tidak sampai setahun pada harga mahal menyebabkan institusi itu menanggung kerugian antara RM595 juta hingga RM915 juta.
Tambahnya, kerugian yang ditanggung KWSP itu juga merugikan rakyat yang merupakan pencarum.
“Hong Leong Investment Bank, iaitu penasihat bebas pemegang saham MAHB membantah. Bahkan kelima-lima ahli lembaga pengarah bebas MAHB mendakwa harga tawaran RM11 tidak adil dan under value. Menteri Ekonomil tolong jawab,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Pada Mei tahun lalu, konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan KWSP mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh mereka pada harga tawaran RM11 sesaham.
Apabila tawaran itu selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus ketika ini kepada 40 peratus manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus. – MalaysiaGazette
















