Mohammed Fazurul dan Nur Atila menyambut kelahiran bayi sulung mereka pada tarih 1 Januari di Hospital Pakar KPJ Puteri, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tiga pasangan suami isteri teruja apabila menerima kehadiran  cahaya mata pada tarikh istimewa, 1 Januari di Hospital Pakar KPJ Puteri, di sini, hari ini.

Mohammed Fazurul Rahman, 30, berkata, isterinya Nur Atila Abd Rahman, 29, pada awalnya dijadual bersalin pada 4 Januari namun memilih untuk melakukan pembedahan pada tahun baru selepas mendapat nasihat daripada Doktor Pakar Sakit Puan dan Perbidanan, Dr S Deepa.

Mohammed Fazurul yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata, kehadiran bayi sulung mereka amat bermakna buat dia dan pasangan.

“Namun, kerana saiz bayi agak besar jadi doktor menasihatkan kami untuk bersalin lebih awal sedikit, jadi kami bersetuju untuk memilih tarikh 1 Januari yang menandakan kedatangan tahun baharu.

“Dulu pernah cakap kalau dapat baby pada 1 Januari akan sambut dengan mercun, ini rezeki alhamdulillah,” katanya berseloroh ketika ditemui.

Sementara itu, N Pragash, 35, dan S Kalaivaani, 32, menyambut kelahiran bayi lelaki kedua pada pukul 11.14 pagi.

“Jangkaan bersalin 8 Januari tapi hari ini sebab ada bukaan, sakit perut, sampai hospital pagi tadi pukul 7.

“Memang tak jangka tapi sangat gembira la dapat tarikh 1.1,” katanya.

Sementara satu lagi pasangan suami isteri, Chu Chung Ng, 35, dan isterinya, Tan Ying Qi, 36, turut menyambut kehadiran cahaya mata pertama mereka pada pukul 8.50 pagi, hari ini.

Chung Ng yang merupakan seorang Eksekutif Pemasaran memberitahu, dia dan isterinya juga merancang untuk mendapat zuriat pada tarikh istimewa hari ini.

“Kami memilih tarikh ini agar anak kami mendapat usia penuh sebelum memulakan persekolahannya. Kami percaya perbezaan usia itu akan juga membantu tumbesaran dia kelak,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast