GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini melakukan lawatan rasmi ke Pulau Mutiara bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Ketibaan Wan Junaidi dan Fauziah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini, disambut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Long.
Kon Yeow berkata, Wan Junaidi hadir bagi urusan rasmi selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat.
“Lawatan tersebut diharap dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin (antara kedua-dua negeri),” katanya.
Sementara itu, Wan Junaidi dan Fauziah sempat meluangkan masa menikmati makan tengah hari di restoran nasi kandar tertua di negara ini, Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell di sini. – MalaysiaGazette