Gambar hiasan

KUANTAN – Berita baik bagi calon-calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang menduduki ujian bertulis bermula hari ini.

Kerajaan negeri Pahang telah mengambil inisiatif untuk menaja makan tengah hari kepada semua calon kecuali mereka yang tinggal di asrama.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail

“Usaha ini adalah tanda sokongan kita kepada anak-anak Pahang yang sedang berjuang demi masa depan mereka.

“Saya turut dimaklumkan bahawa Menteri Pendidikan amat menghargai inisiatif ini dan turut menyampaikan ucapan terima kasih serta salam kepada kita semua di negeri Pahang,” katanya.

Seramai 20,401 orang calon SPM 2024 mula menduduki peperiksaan bertulis di negeri ini yang bermula hari ini sehingga 6 Februari depan.

Calon terlibat merangkumi 17,282 calon Kementerian Pendidikan, 822 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 1,198 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 225 calon swasta, 751 calon persendirian dan 123 sekolah agama rakyat menduduki peperiksaan bertulis di 259 pusat peperiksaan membabitkan 229 sekolah.

Daripada jumlah itu, terdapat 134 calon berkeperluan khas dan terdapat empat calon yang menduduki peperiksaan di hospital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast