Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal tabah, kuat dan terus berikhtiar dalam isu pengampunan sedang dihadapi olehnya ketika ini.

Katanya, kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah jelas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ramai yang memahami kuasa dimiliki YDPA. Moga ALLAH sentiasa bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau kekal tabah, kuat serta terus berikhtiar,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.

Malam tadi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogratif YDPA, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, UMNO merancang untuk mengadakan perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Namun petang semalam Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan YDPA  pada mesyuarat akan datang.

Susulan itu kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang meminta orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.

Najib sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here