Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – DAP menyifatkan tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP berhubung isu titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tindakan keji itu merupakan mainan politik ulangan Pas yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan “Semua Salah DAP”.

“Saya ingin menegaskan bahawa pemimpin DAP khususnya anggota Kabinet dari DAP langsung tidak terlibat dalam isu titah adendum tersebut kerana isu pengampunan adalah urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri.

“Dalam Lembaga Pengampunan pula, tidak ada seorang pun ahli lembaga yang terdiri dari wakil DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi menyelar kerajaan PH yang diterajui DAP yang didakwanya mengkhianati konsep Raja Berperlembagaan.

Merujuk keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi mendakwa kerajaan telah menolak titah supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara dalam bentuk tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Anthony menegaskan, segala urusan Lembaga Pengampunan dinasihati oleh Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita amat mengenali taktik politik kotor dan keji Pas dengan menggunakan isu ini dan mengaitkan dengan DAP untuk tujuan cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memecahkan Kerajaan Perpaduan.

“Pemimpin Pas kini amat gila kuasa dan gelojoh untuk menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita politik mereka untuk merampas kuasa di Putrajaya.

“Saya menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik pada masa kini untuk menolak sekeras-kerasnya politik murahan dan keji yang dibawa oleh Pas,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu titah adendum Najib serlah wajah sebenar PH – Hadi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast