LANGKAWI- Bermula dengan menghasilkan beg mengkuang untuk dijual sebagai cendera hati kepada pelancong-pelancong asing untuk dibawa pulang ke negara masing-masing, Rita Maria Mohamad tidak menyangka kraftangan tradisi yang direka dengan rekaan moden itu turut menarik perhatian rakyat tempatan.
Menurut pemilik Embun Embun, respons yang baik itu menaikkan lagi semangat beliau untuk terus berkarya menghasilkan rekaan-rekaan yang lebih unik dan moden serta praktikal.
“Saya tidak menyangka produk keluaran Embun Embun turut menarik minat orang tempatan kerana di Malaysia, beg mengkuang bukanlah sesuatu yang luar biasa dan sudah menjadi kelaziman orang kita untuk meminati barangan luar dan berjenama terkenal.
“Namun, saya yakin rekaan beg mengkuang Embun Embun yang unik, moden dan dijual pada harga berpatutan iaitu di bawah RM200 berjaya menarik minat orang Malaysia dan pelancong luar negara.
“Malah ada beg mengkuang kami habis dijual dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik di Instagram Embun Embun,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar Permukiman Menteri Luar ASEAN 2025 di sini.
Menurut Rita Maria, bermula dengan jualan dalam talian pada 2019, Embun Embun kini sudah mempunyai kedai sendiri untuk mempamer dan menjual produk mengkuangnya.
Malah lebih membanggakan apabila produk-produk tersebut telah mula ‘terbang’ ke luar negara apabila sering menjadi pilihan kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat korporat untuk dijadikan hadiah ataupun dipamerkan dalam acara di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun katanya, pengeluaran yang terhad di sebalik permintaan yang tinggi menyukarkan pihaknya untuk memenuhi harapan pelanggan yang mahu memiliki beg mengkuang dihasilkan Embun Embun.
Jelas wanita tinggi lampai itu, di samping masalah cuaca dan proses yang panjang, penghasilan beg mengkuang juga banyak dipengaruhi oleh jumlah tukang anyam yang semakin berkurangan.
“Tradisi ini akan mati jika dibiarkan tanpa penyambung legasi. Kebanyakan tukang anyam sudah tua kerana orang muda kurang berminat terutama sekali di Langkawi apabila kerja mudah didapati kerana ada banyak hotel dan sebagainya.
“Saya faham bahawa kerja-kerja menganyam tidak mudah, malah saya sendiri mengaku tidak mampu menganyam kerana kurang sabar tetapi kita perlu lakukan sesuatu supaya kraftangan tradisi sejak turun temurun ini tidak lenyap ditelan zaman.
“Disebabkan itu, kami sangat mengalu-alukan apabila ada agensi kerajaan dan pihak swasta yang menyatakan minat untuk bekerjasama dalam melatih dan mempromosikan bidang ini,” katanya sambil menambah semua tukang anyam bagi produk Embun Embun adalah pekerja sambilan yang kebanyakannya adalah suri rumah.
Beliau hanya menyediakan rekaan dan meminta tukang anyam untuk menghasilkan anyaman tersebut secara eksklusif kepada Embun Embun.
Namun, beliau tidak menghalang tukang anyam untuk bekerja dengan pihak lain atau menghasilkan anyaman untuk jualan sendiri.
Beliau yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni dan rekaan serta berpengalaman luas dalam bidang perhotelan sangat bersemangat apabila membicarakan mengenai produk mengkuang.
Katanya produk yang dihasilkan daripada anyaman mengkuang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan kerana ia bukan sahaja cantik namun bersifat lestari serta tidak mencemarkan alam.- MalaysiaGazette