KLANG – Dua warga asing yang sebelum ini cedera dalam kebakaran di sebuah kilang penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG) pada 21 Januari lalu meninggal dunia.
Manakala seorang lagi mengalami kecederaan, demikian kata Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao.
“Dua meninggal satu cedera. Punca kematian kesan kebakaran, Semua ini warga asing mempunyai dokumen sah.
“Pihak polis isytihar kematian mengejut dan bomba juga jalankan siasatan sama ada punca kebakaran ada punca kecuaian atau jenayah,” katanya ketika ditemui pada program Pasar Pagi Taman Eng Ann, Bandar Baru Klang.
Ujar beliau, pihaknya masih menunggu laporan siasatan daripada pihak bomba.
“Kita sudah ambil keterangan daripada pemilik kilang, pekerja dan mangsa. Baki empat orang kita masih dalam proses (ambil keterangan,” ujarnya.
Terdahulu, Vijaya berkata kebakaran dipercayai kilang di Klang itu berpunca daripada tong gas LPG yang disimpan di pekarangan premis tersebut.
Dilaporkan kebakaran turut merebak ke dua bangunan lain di taman perindustrian di Klang lewat malam Isnin.
Kerugian dianggarkan sekitar RM5 juta.-MalaysiaGazette
















