MD Nazri Zawawi

MELAKA – Statistik jenayah indeks di negeri Melaka tahun lalu meningkat lebih 16 peratus atau 234 kes berbanding dua tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata,  sebanyak 1,692 kes jenayah direkodkan bermula Januari hingga Disember lalu, berbanding 1,458 kes pada  2023.

Menurutnya daripada jumlah itu, kes jenayah komersil merekodkan kerugian tertinggi berjumlah hampir RM79.3 juta berbanding RM48.4 juta pada 2023.

“Daripada jumlah ini, kes tipu menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian yang dialami oleh mangsa iaitu berjumlah lebih RM73.3 juta atau bersamaan 64.5 peratus.

“Ia diikuti kes pecah amanah jenayah sebanyak hampir RM5 juta atau bersamaan 17.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Nd Nazri memeriksa perbarisan selepas Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Mengulas lanjut Md Nazri berkata, daripada keseluruhan 1,692 kes yang dilaporkan tahun lalu, polis Melaka telah berjaya menyelesaikan sebanyak 1,082 kes atau 63.95 peratus.

“Walaupun berlaku peningkatan, kes jenayah Kontinjen Melaka berada pada kedudukan ke tiga penyumbang kepada kes indeks iaitu hanya 2.9 peratus berbanding 14 buah Kontinjen lain.

“Dengan peningkatan yang kecil ini serta peratusan penyelesaian kes, jelas menunjukkan Melaka masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Bagi kes dadah pula, jelasnya statistik tempoh sama merekodkan nilai keseluruhan rampasan tahun lalu berjumlah hampir RM15 juta berbanding RM15.6 juta pada 2023.

“Manakala statistik kes salah laku melibatkan pegawai polis dan pegawai awam PDRM Melaka sepanjang sepanjang tahun lalu pula merekodkan sejumlah 42 kertas siasatan tatatertib.

“Sejumlah 56 kertas enkuiri polis melibatkan 56 orang pegawai polis dan pegawai awam telah dibuka oleh pihak
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.

Pada majlis itu, Md Nazri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada seramai 46 warga PDRM Melaka atas kecemerlangan tugas dan menolak rasuah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast