KUALA LUMPUR – Jalan Song/Sipan-Temalat ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlakunya tanah runtuh yang memutuskan hubungan jalan raya dari Kanowit ke Song di Sarawak, hari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kapit, penutupan sementara dibuat bagi membolehkan pihak berkenaan membuat lencongan bagi membuka laluan kepada kenderaan ringan.
Bagaimanapun katanya, kenderaan berat tidak akan dibenarkan menggunakan laluan tersebut memandangkan keadaan struktur tanah di lokasi kejadian yang tidak stabil dan tidak selamat.
“Kejadian berlaku berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nanta Linggi berkata, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Katibas Lidam Asan dan Pegawai Daerah Song Harry Bruce, katanya telah turun padang bagi memeriksa bahagian jalan yang runtuh.
Selain itu, beliau turut memaklumkan terdapat beberapa lagi kejadian tanah runtuh di daerah Kapit dan Belaga.
Antara kawasan terjejas iaitu simpang masuk ke Menara Pemancar TV & Radio dan Lorong 1, Taman Bian Hua, Daerah Kapit; Kilometer 34, Jalan Menjawah – Belaga; dan Jalan Bakun – Belaga iaitu antara Uma Badeng Dangan/Bakun, daerah Belaga.
Beliau berkata, Elvis telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit untuk memantau secara dekat keadaan di seluruh daerah itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk ketika ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga juga sudah mengambil tindakan dengan membersihkan laluan terjejas bagi membolehkan pengguna jalan raya melalui kawasan berkenaan.
Pihak JKR juga kata beliau, turut memasang papan tanda yang bersesuaian di lokasi kejadian.
Sehubungan itu, Nanta Linggi meminta penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan itu agar mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette