JOHOR BAHRU – UMNO dicabar mengambil tindakan terhadap ahli MCA Bahagian Pasir Gudang, Law Yiak Kwang yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berhubung kenyataannya didakwa menghina Melayu.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, sehingga kini UMNO masih lagi tidak bersuara atau berani memberikan sebarang komen.
“Saya nak lihat apa tindakan UMNO. Kita sama-sama lihat berani atau tidak lucut jawatan orang ini sebagai Ahli Majlis MBPG dan lain-lain jawatan kalau ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa, kenyataan tersebut merupakan satu lagi kes pemimpin MCA Johor yang menghina Melayu.
“Hari itu page MCA Johor pertikai kerajaan bantu tingkatkan syiar Islam. Hari ni dikatanya Melayu gila!
“Macam mana boleh jadi pemimpin kalau tak faham Islam sebagai agama Persekutuan agama rasmi Malaysia,” soalnya.
Terdahulu, sejumlah tangkap layar hantaran dalam Facebook Yiak Kwang mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai apabila antara lain seolah-olah memberi gambaran ‘Melayu gila’.
Sebelum itu, Yiak Kwang mencetuskan kontroversi selepas memuat naik beberapa status dalam Facebook miliknya yang bersifat menghina Islam, mempersendakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta cuba mencetus ketegangan antara kaum dan agama.
Susulan itu, Naib Ketua Cabang Keadian Batu, Rozan Azen Mat Rasip membuat laporan terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul Kuala Lumpur, semalam.- MalaysiaGazette
















