KUALA SELANGOR – Persatuan Pembangunan Bersatu Malaysia (Mayda) sudah mengenal pasti premis baharu untuk ‘menyelamatkan’ 34 warga emas uzur yang bakal diusir dari Pusat Jagaan Orang Tua SRA, Taman Malawati di sini pada Mei ini.
Presidennya, Sazarul Zakry Zainal Abidin berkata, ia susulan dakwaan kegagalan agensi kerajaan menyalurkan bantuan sewajarnya meskipun rumah kebajikan itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya harap JKM dapat ambil tindakan sewajarnya, fikirkan macam mana, kalau dapat pindahkan mereka (warga emas uzur)ke rumah lain, adakan satu tempat baharu.
“Takkan bila kena halau, penghuni-penghuni rumah amal ini nak duduk di tepi jalan? Itu yang kami khuatiri tapi kami di Mayda tidak akan membiarkan penghuni-penghuninya duduk di tepi jalan.
“Kami akan pertahan dan perjuangkan nasib 34warga emas yang uzur ini hingga kami dapat tempat baharu untuk Pusat Jagaan Orang Tua SRA ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
BACA: Mayda nafi ditaja parti politik, sokong kepimpinan PMX – Sazarul
Pada 30 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan 34 warga emas dan uzur yang diabaikan ahli keluarga berdepan risiko diusir pemilik rumah pada Mei ini, akibat rumah kebajikan itu kekurangan dana.
Pengasasnya, Sharil Hussein mendakwa, masalah itu timbul selepas sebuah agensi zakat dikatakan memotong peruntukan makanan, penginapan dan pengurusan 27 penghuninya dari RM1,850 kepada RM800 sebulan sejak empat tahunlalu.
Menurut Sharil, pihaknya menerima bantuan daripada agensi berkenaan berjumlah RM16,500 sejak 2021 hingga Disember 2024 namun ia masih tidak mencukupi sedangkan kos operasi rumah kebajikan itu mencecah RM45,000 hingga RM50,000 sebulan.
Sazarul turut berkata, pihaknya bersetuju untuk ‘mengambil alih’ tugas agensi kerajaan tertentu yang masih mengamalkan kerenah birokrasi sehingga menyebabkan kebajikan 34 penghuni pusat jagaan itu terus terabai.
“Mesyuarat Mayda telah bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa bertindak dan kita akan bekerjasama dengan pengurusan Pusat Jagaan Orang Tua SRA bagi memastikan penghuninya tidak terabai dan dipinggirkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















