KUALA LUMPUR – Program KL Car Free Morning (KLCFM) yang diadakan pada setiap pagi Ahad memberi galakan terutamanya dalam golongan muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti sihat.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam, Aliff Haiqal Rosli berkata, program itu membantunya sebagai seorang pelajar untuk melepaskan tekanan melalui riadah.
Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia akan cuba hadir ke program berkenaan pada setiap kali penganjurannya.
“Saya akan cuba untuk ada di sini setiap kali penganjuran pada Ahad dan kebiasaannya akan melakukan riadah mengikut kemampuan. Kadangkala larian tiga kilometer dan jika mampu lebih, saya lakukan lima kilometer.
“Daripada buat aktiviti tidak berfaedah seperti melepak pada hujung minggu, lebih baik kita lakukan aktiviti sihat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Universiti Malaya, Najmi Masturah Roslan, 23, berkata, dia hadir untuk menyertai program seawal pukul 6 pagi tadi.
“Sebaik tiba, saya telah berjemaah solat Subuh bersama peserta lain di Masjid Jamek selepas itu saya lakukan larian lima kilometer,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Menurut Najmi Masturah, program seperti ini memberi manfaat kepadanya sebagai pemula dalam aktiviti larian.
“Di sini, kita boleh lari dan beriadah ikut kemampuan kita dan tiada siapa akan mempertikaikan cara kita melakukan senaman.
“Program seperti ini sangat bagus untuk mereka terutamanya yang ingin short escape dan melapangkan minda selepas melakukan rutin kerja tiap minggu,” ujarnya.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Nurainul Bashirah Samsul, 23,pula percaya aktiviti fizikal seperti berjoging penting untuk mengekalkan kesihatan.
“Sebenarnya program ini sudah lama saya dengar daripada kawan-kawan. Mereka selalu sertai aktiviti larian seperti ini, jadi saya pun tertarik nak cuba.
“Kita ni masih muda, takkanlah asyik nak berehat sahaja. Kesihatan kena dijaga, jadi lebih baik kita aktif,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif seperti itu perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk menikmati pemandangan ibu kota dalam suasana lebih santai.
“Kita dapat berjalan kaki dan berjoging di tengah bandar KL tanpa gangguan kenderaan. Bukan selalu dapat pengalaman macam ni,” katanya yang berjaya melengkapkan larian sejauh tiga kilometer dalam acara kali ini.
Program KLCFM diadakan pada setiap hari Ahad pertama dan ketiga setiap bulan, membolehkan orang ramai melakukan aktiviti kecergasan seperti berbasikal, berjoging dan berjalan kaki di jalan raya utama sekitar pusat bandar tanpa gangguan kenderaan bermotor. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KLCFM sempena Hari Wilayah Persekutuan tarik lebih 3,000 pengunjung















