Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini dirinya mengambil tindakan saman terhadap seorang pendakwah agama berkaitan maklumat tidak tepat mengenai Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mahu masyarakat umum mengetahui tentang berita palsu dan pembohongan yang disebar berkaitan pandemik tersebut.

Jelasnya, sebagai seseorang yang telah dilantik ketika itu sebagai Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dirinya berperanan menggalakkan orang ramai mengambil vaksinasi bagi tujuan pengurangan penularan virus tersebut.

“Kes ini amat penting kerana perbuatan menyebarkan berita palsu terutamanya ketika kita sedang berdepan dengan krisis kesihatan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam perbicaraan saman sivil oleh Khairy terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq yang difailkan sekitar tahun 2022.

Khairy mendakwa Mohd Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober tahun lepas, 6 dan 10 Januari 2022.

Dakwanya, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Dalam saman sama, Khairy pernah menyaman bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan fitnah isu Covid-19 namun perkara itu telah selesai luar mahkamah apabila defendan memohon maaf berhubung kenyataannya.

Dalam pada itu, dalam prosiding sama hari ini, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga tampil memberikan keterangan berhubung saman sivil itu.

Kata Dr Noor Hisham dalam kenyataanya, Khairy telah menerima dua dos vaksin Sinovac dan satu dos penggalak Pfizer pada 2021.

Pada masa itu, kata Dr Noor Hisham, banyak maklumat salah berkaitan dos-dos ini disebarkan namun bukan sahaja Khairy sebaliknya beliau bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengambil vaksin Pfizer bagi menunjukkan ia selamat untuk semua.

Prosiding bersambung esok. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here