MELAKA – Produk pelancongan Melaka Floating Market di Pengkalan Ramai di sini yang didakwa kurang mendapat sambutan akan dipindahkan ke lokasi baharu yang lebih selesa dan strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, pihaknya memandang serius penularan video dari salah seorang peniaga di situ mengenai perkara berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, perbincangan bersama pihak pengajur juga telah dilaksanakan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan mencari solusi terbaik untuk menanganinya.
“Isu kekurangan pengunjung di kawasan bot terapung adalah disebabkan oleh penutupan sementara laluan utama pengunjung ke kawasan tersebut ekoran kerja-kerja pembinaan jambatan pejalan kaki yang sedang dilaksanakan pihak kontraktor.
“Lokasi bagi perniagaan Floating Market dan Windmill Pink Market ini juga sebenarnya adalah sementara dan pihak pengurusan mempunyai perancangan bagi memindahkannya ke lokasi yang lebih selesa dan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bagi mengulas penularan video TikTok peniaga yang mendakwa kawasan pelancongan terkenal ini semakin kurang mendapat sambutan menyebabkan ramai antara mereka memilih untuk menghentikan operasi.
Mengulas lanjut, Shaharul berkata, ekoran isu yang dihadapi itu, pihak penganjur juga telah memberikan diskaun 50 peratus terhadap sewa peniaga mulai Januari sehingga kerja-kerja pembinaan jambatan pejalan kaki selesai.
“Ini kerana penutupan sementara laluan utama ke Floating Market ini telah mengakibatkan pengurangan pengunjung sebanyak hampir 20 peratus.
“PPSPM telah berbincang dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat laluan sementara kepada pengunjung ke Floating Market yang dijangka siap selewat-lewatnya Jumaat ini,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan operasi perniagaan pasar terapung itu di Dataran Pengkalan Rama berhampiran Taman Rempah itu dapat diteruskan setiap hari dan tidak merugikan peniaga.
Untuk rekod, Floating Market dan Windmill Pink Market mula beroperasi sepenuhnya pada Jun 2024 dan mendapat sambutan amat baik sebagai antara tempat yang kerap dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.
Sehingga 4 Februari lalu, sejumlah 433,215 pengunjung telah memeriahkan Melaka Floating Market dan Windmill Pink Market sebelum penutupan sementara laluan utama ke pasar terapung itu menyebabkan jumlah pengunjung merosot hampir 20 peratus. – MalaysiaGazette