KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang supaya mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara termasuk meningkatkan penguatkuasaan ke setiap premis jualan rokok elektronik bukan menutup industri tempatan yang sah dan terkawal.
Perkara itu disuarakan Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil.
Menurut beliau, pengharaman penuh industri vape di Malaysia bukanlah penyelesaian yang adil dan berkesan terhadap isu yang sedang berlaku seperti laporan mengenai penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.
Beliau berkata, pihaknya dan industri tempatan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan pasaran vape di Malaysia lebih selamat, teratur dan memberi manfaat kepada pengguna serta negara.
“Nanostix menghargai usaha kerajaan selama ini dalam melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengawal penggunaan rokok dan vape demi kesihatan awam termasuk mengambil pendekatan kawal selia terhadap produk vape dengan pada 2024, kerajaan memperkenalkan cukai ke atas produk vape sebagai langkah sederhana untuk mengawal selia produk tersebut.
“Tetapi pada masa yang sama, kami ingin menekankan pertimbangan utama bagi memastikan pelaksanaan yang lebih seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik berkata, Kementerian Kesihatan bersedia untuk meneliti semula pengharaman vape atau rokok elektronik secara menyeluruh di negara ini.
Katanya, buat masa ini, tumpuan diberikan kepada kawal selia dan mengawal vape.
Menurutnya, walaupun terdapat rancangan oleh menteri sebelumnya seawal 2015 untuk mengharamkan vape, Malaysia telah terlepas peluang untuk menggubal sekatan penuh seperti di Singapura, Thailand dan Brunei.
“Ketika Akta Kawalan Produk Merokok berkuat kuasa, produk vape telah pun meluaskan pasaran. Tumpuan kini diberikan kepada kawalan ketat termasuk pendaftaran wajib yang dikatakan telah menyebabkan 80 peratus produk vape dan e-rokok dikeluarkan daripada pasaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata, perkara sebenar yang perlu ditangani segera adalah meningkatkan penguatkuasaan vape haram kerana isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape adalah disebabkan penguatkuasaan yang lemah sehingga membolehkan vape haram dijual berleluasa.
Justeru, kata beliau, pihaknya memohon kerajaan untuk mengambil langkah terbaik jika ingin benar-benar mahu menyelesaikan masalah yang berlaku.
Shahabudeen menjelaskan, semua cecair vape yang mengandungi bahan terlarang berasal daripada produk import yang dibancuh oleh pihak yang tidak diketahui dan dihasilkan tanpa pemantauan termasuk diseludup masuk ke negara ini tanpa membayar cukai.
Ujarnya, pengilang tempatan yang sah seperti Nanostix tidak pernah mengeluarkan produk yang mengandungi bahan terlarang.
Katanya, Nanostix beroperasi dengan penuh tanggungjawab, mematuhi peraturan yang ditetapkan dan premis sentiasa berada di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Namun apabila terdapat kebocoran di pintu sempadan, produk import berbahaya seperti ini bebas memasuki pasaran Malaysia tanpa kawalan.
“Produk ini dijual secara terbuka tanpa pemantauan, membahayakan pengguna dan menjejaskan industri tempatan yang beroperasi secara sah,” katanya.
Tambah beliau, ketidakadilan terhadap pengeluar tempatan mengharamkan seluruh industri vape di Malaysia adalah satu langkah yang tidak adil kepada pengeluar tempatan.
“Kami bukan sahaja beroperasi dengan mematuhi undang-undang malah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu, agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape.
Sebaliknya Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang terutama dadah. – MalaysiaGazette