Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah atas) melawat ruang legar PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 13 FEBUARI 2025.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM1.2 juta kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pemberian dana segera itu bertujuan untuk mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih kemudahan lif yang rosak sejak sekian lama.

“Satu lif di Lembah Subang 1, siapa nak ambil tahu, tapi Kerajaan Madani ini, lif Subang ke Kabinet Malaysia, menteri-menteri dan Perdana Menteri ambil tahu berapa lif rosak di Wangsa Maju, dari 24 dari 25 lif rosak.

“Berapa lif rosak di Lembah Subang 1, tiga (unit). Ini baru kerajaan yang prihatin tentang nasib rakyat,” katanya berucap pada Hari Anugerah Forum Komuniti (FORKOM) Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan di PPR Lembah Subang 1 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan RM1.2 juta itu akan disalurkan kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) selewat-lewatnya pada Jumaat ini.

“Kalau tak ada perubahan, awak panggil Datuk Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) datang (ke PPR Lembah Subang 1),” katanya dengan berseloroh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ruang legar yang dihias pada majlis meraikan Forum Komuniti (FORKOM) dan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan di PPR Lembah Subang 1,Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 13 FEBUARI 2025.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau mahu PPR Lembah Subang 1 dijadikan sebagai perumahan rakyat untuk golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai contoh kepada projek sama di seluruh negara.

“Saya dengar Chean Chung (ahli Parlimen Petaling Jaya) beritahu, setiap tingkat ini (PPR Lembah Subang 1) ada tempat duduk, tempat bekerja, tempat anak-anak belajar, tempat solat, tempat mengaji, jadi ini satu contoh yang baik.

“Kalau boleh Menteri Perpaduan pun ada, KPKT pun ada, bagi masa sedikit lagi, kita baiki lagi, kita nak jadikan PPR Lembah Subang 1 contoh bagi semua PPR dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here