KUALA LUMPUR- Rang-Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada minggu pertama Mac.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataan hari ini berkata, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341] merupakan suatu akta untuk membuat peruntukan yang perlu bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ia berfungsi dengan berkesan dan cekap untuk melindungi nyawa dan harta daripada risiko kebakaran, kecemasan dan tujuan-tujuan lain yang berkaitan dengannya.
Fokus utama pada pindaan kali ini adalah bagi mengatasi isu dan cabaran berkaitan pengurusan dan pengawalseliaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS); Perunding Keselamatan Kebakaran dan Firma Perunding Keselamatan Kebakaran; Orang Kompeten dan Kontraktor Keselamatan Kebakaran; Kelengkapan Menentang Kebakaran atau Pepasangan Keselamatan Kebakaran;Penyedia Latihan dan Pengajar dan Pasukan Bomba.
“Pindaan terhadap Akta 341 adalah penting bagi membolehkan JBPM terus berkembang sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan kebombaan dan memastikan keselamatan rakyat serta kelestarian negara melalui pendekatan pelindungan nyawa dan harta daripada risiko kebakaran dan kecemasan,” katanya. – MalaysiaGazette















