Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR- Kebebasan berkarya adalah hak asasi namun ia harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tanpa melanggar prinsip moral dan agama.

Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) menegaskan, setiap penggiat seni termasuk artis perlu lebih peka terhadap impak sosial yang boleh timbul daripada ekspresi seni mereka.

“Justeru tindakan lelaki menyerupai wanita ini, daripada perspektif ajaran Islam dan tatasusila budaya kita, adalah suatu bentuk penyimpangan yang perlu dihentikan.

“Lelaki berpakaian wanita dan sebaliknya, sekiranya dibiasakan, akan menjadi barah dalam masyarakat, merosakkan fitrah, menghakis nilai moral seterusnya membuka pintu kepada normalisasi penyimpangan yang akhirnya menghancurkan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/18/lelaki-berpakaian-wanita-di-ajl-tv3-minta-maaf-dan-kesal/

Tambah YADIM, Islam mengajar setiap individu tanpa mengira jantina, perlu menjaga kehormatan diri melalui cara berpakaian yang sesuai dengan syariat.

Pakaian katanya bukan hanya sekadar penampilan luaran tetapi juga simbol peribadi, integriti, dan kesopanan.

“YADIM ingin menyuarakan dan menegaskan bahawa tindakan sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam sebuah majlis anugerah hiburan baru-baru ini sekiranya dibiarkan akan mempunyai kesan langsung terhadap keharmonian sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Negara kita yang berbilang kaum dan agama menuntut setiap individu untuk menghormati budaya dan norma sosial yang telah lama diamalkan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, YADIM menyeru kepada semua pihak untuk bekerjasama dalam mendidik dan membimbing generasi akan datang untuk terus menghargai dan mengamalkan prinsip-prinsip agama, budaya, dan kesopanan dalam kehidupan seharian.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast