KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng supaya peruntukan kepada bukan bumiputera tahun depan dinaikkan kepada 10 peratus daripada yang diterima bumiputera sebagai tidak praktikal.
Ini kerana, kata beliau, bumiputera perlu diberi sokongan tambahan kerana jurang yang masih wujud dengan bukan bumiputera seperti dalam isu pendapatan dan pemilikan ekuiti, selain paling ramai dalam golongan miskin.
Bagaimanapun, tambahnya, tidak dinafikan terdapat juga bukan bumiputera yang miskin dan wajib dibantu dan disebabkan itu, program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) diberikan mengikut pendapatan bukan kaum.
“Maka, kalau ada yang guna hujah “bantuan hanya untuk bumiputera”, itu hanyalah manipulasi fakta. Yang betulnya, bumiputera perlu diberi sokongan tambahan kerana jurang yang masih wujud tapi dalam masa yang sama, bukan bumiputera miskin tetap ada hak untuk dibantu,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan itu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Guan Eng memberikan contoh Belanjawan 2022 yang mana golongan bumiputera diperuntukkan dana bernilai RM11.4 bilion manakala bukan bumiputera diberi RM345 juta iaitu tiga peratus daripada keseluruhan nilai berkenaan.
Sementara itu, sebagai perbandingan kepada cadangan Guan Eng tersebut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan mengenai peruntukan pembangunan berat sebelah yang diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Menurutnya, Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang rata-ratanya mewakili kawasan Malay Belt seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak diberi peruntukan kawasan.
Sedangkan, ujar beliau, kawasan-kawasan itu merupakan majoriti penduduk kaum bumiputera dan ahli-ahli Parlimen berkenaan sepatutnya mendapat hak yang sama sebagai wakil rakyat.
Tetapi dalam masa sama, tambahnya, Pulau Pinang iaitu sebuah negeri yang dikuasai DAP diberikan projek transit aliran ringan (LRT) bernilai RM14 bilion.
“Kenapa bila bercakap tentang keadilan ekonomi, mereka senyap bila negeri mereka mendapat peruntukan mega tetapi bising bila bumiputera mendapat bantuan yang jauh lebih kecil?
“Ini jelas double standard. Kalau benar mahu keadilan, sepatutnya semua kawasan dapat manfaat bukan hanya negeri yang sehaluan dengan kerajaan.
“Sekali lagi ini bukan soal kaum, ini soal realiti ekonomi. Kalau bantuan bumiputera dipersoalkan maka bantuan mega kepada negeri DAP juga harus dipersoalkan.
“Jangan hanya perjuangkan keadilan bila ia menguntungkan sebelah pihak sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette