Penyampaian sijil daripada Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Mohammad Tarmizi Balya.

KUALA LUMPUR – Kolej Komuniti Selayang (KKSY) sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam amalan kelestarian apabila berjaya menerima Anugerah Pengiktirafan 5 ‘Diamonds’ dalam Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 yang berlangsung di Sofitel Hotel KL Damansara, baru-baru ini.

Kejayaan ini lebih bermakna kerana KKSY merupakan satu-satunya institusi di bawah Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC) yang mendapat pengiktirafan dalam program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 bagi tahun 2024.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Timbalan Pengarah Akademik KKSY, Mohammad Tarmizi Balya.

Menurut Mohammad Tarmizi, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih seluruh warga KKSY yang sentiasa komited dalam memastikan institusi ini mengamalkan prinsip kelestarian dan memenuhi piawaian bandar rendah karbon.

“KKSY telah menjalankan pelbagai inisiatif hijau termasuk pengurusan tenaga yang cekap, penggunaan sumber lestari, serta kesedaran dalam kalangan warga kampus terhadap kepentingan kelestarian alam”, tambahnya lagi.

Pengiktirafan ini juga membuktikan institusi pendidikan mampu menjadi peneraju dalam perubahan ke arah kelestarian dan dengan usaha berterusan, KKSY tidak hanya berperanan sebagai pusat akademik, tetapi juga sebagai model institusi hijau yang menyumbang kepada usaha negara dalam mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

Dengan pengiktirafan ini, KKSY bertekad untuk memperkasakan lagi amalan hijau dalam semua aspek pengurusan dan pengajaran.

KKSY berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada institusi lain untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara alam sekitar.

Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada KKSY untuk terus memimpin dalam usaha memelihara alam sekitar dan mengangkat nama POLYCC ke peringkat yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast