GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyifatkan cadangan kerajaan untuk melaksanakan caj kesesakan menambahkan bebanan kehidupan rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, Pulau Pinang merupakan kawasan yang majoriti penduduknya berpendapatan rendah dan sederhana, yang mana ramai yang terpaksa berulang-alik antara bandar serta kawasan pinggir bandar demi mencari rezeki.
Jelasnya, cadangan tersebut bukan sahaja tidak dapat menangani kesesakan lalu lintas secara berkesan, malah akan meningkatkan beban ekonomi rakyat Pulau Pinang yang bergantung kepada kenderaan persendirian kerana sistem pengangkutan awam masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
“Pelaksanaan caj kesesakan bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas secara menyeluruh, malah akan menambahkan beban kehidupan mereka.
“Sekiranya kerajaan mengenakan caj kesesakan tanpa menyediakan cara alternatif yang baik, rakyat akan rasa tidak adil kerana sebahagian besar pendapatan mereka mungkin akan digunakan untuk membayar caj ini.
“Malah, secara jelas menunjukkan ini adalah satu bentuk penindasan terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Sehubungan itu, Tong Keong berpendapat kerajaan harus memberi keutamaan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam sebelum mempertimbangkan sebarang pelaksanaan caj.
“Saya ingin menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula cadangan ini dengan mengambil kira keperluan dan keadaan ekonomi rakyat Pulau Pinang agar tidak melaksanakan langkah yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat tanpa perbincangan dan persediaan yang mencukupi,” katanya.
“Saya harap menteri turun ke padang dan memahami kesusahan rakyat. Pada masa ini, kerajaan seolah-olah mengenakan cukai terhadap hampir semua perkara, menyebabkan kehidupan rakyat semakin terbeban, jadi kerajaan perlu mengubah dasar mereka bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi rakyat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan telah mengenal pasti tiga bandar yang berpotensi melaksanakan Caj Kesesakan, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ir A.Rajendran berkata, kenaikan kadar bayaran parkir awam sebanyak 50 peratus bermula bulan ini adalah sebahagian usaha bagi mengurangi kesesakan di kawasan permintaan tinggi.
“Keputusan itu dibuat bagi meningkatkan aliran trafik dan mengelak parkir jangka panjang yang menyekat ruang parkir awam terhad.
“Bayaran parkir meningkat daripada 40 sen kepada 60 sen bagi setiap setengah jam dan daripada 80 sen kepada RM1.20 sejam manakala kadar harian juga dinaikkan daripada RM6 kepada RM9 namun pas bulanan kekal pada RM150,” katanya. – MalaysiaGazette