File picture

KUALA LUMPUR – Pengisian jawatan jururawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mencapai 88 peratus, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, sehingga kini sekurang-kurangnya 43,243 kekosongan bagi perjawatan itu perlu diisi bagi membantu melancarkan perkhidmatan kesihatan dalam negara.

Katanya, kekosongan itu didorong daripada pembinaan hospital-hospital dan institutsi perubatan termasuk beberapa projek kesihatan lain.

“Walaubagaianapun ini bergantung keputusan agensi pusat dan kita sedang berdepan dengan menghasilkan (melahirkan graduan) jururawat.

“Kita berdepan cabaran pembukaan hospital-hospital baharu seperti Petra Jaya di Sarawak, Pusat Jantung di Sabah (kelak) dan beberapa projek pembinaan hospital lain,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan) mengenai inisiatif kerajaan untuk mengisi kekosongan jawatan jururawat yang dilihat masih mencecah puluhan ribu.

Terdahulu Lukanisman berkata, kerajaan meneruskan pengambilan jururawat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan bilangannya di fasiliti kesihatan mencukupi.

Menurut beliau, dalam masa sama jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM ditingkatkan daripada 1,000 kepada 2,000 pelatih.

Manakala penawaran kepada Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun.

“Pengambilan dibuat secara berfasa dalam kalangan graduan Diploma Kejururawatan daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) awam dan swasta serta graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Latihan KKM (ILKKM),” jelasnya.

Katanya, sehingga 31 Disember 2024, seramai 70,229 jururawat berkhidmat di KKM.

Ujarnya, jumlah berkenaan terdiri daripada 69,114 anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim yang sedang berkhidmat di fasiliti-fasiliti seperti hospital, Klinik Kesihatan (KK), institusi perubatan, Institut Latihan KKM dan Ibu Pejabat Kesihatan KKM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast