Terdapat 14 kesan tikaman termasuk satu menembusi pembuluh darah utama pada pada mayat wanita dipercayai dibunuh kekasih di sebuah rumah teres di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Malim, Melaka Ahad lalu.

MELAKA – Perintah reman terhadap suspek utama kes pembunuhan seorang wanita di sebuah rumah teres di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Malim, di sini, bulan lalu dilanjutkan lagi tujuh hari sehingga 9 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia bagi membolehkan suspek lelaki berusia 54 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian.

“Reman suspek yang sebelum ini direman tujuh hari sejak 24 Februari lalu sehingga semalam disambung lagi tujuh hari sehingga 9 Mac ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pada Ahad pada 23 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan mangsa penyanyi sambilan yang berstatus isteri orang dan mempunyai tiga anak itu ditemukan berlumuran darah di atas katil bersama suspek yang juga dipercayai kekasihnya dalam bilik rumah sewa taman berkenaan.

Suspek yang turut cedera dipercayai cuba bunuh diri selepas kejadian itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka sebelum ditahan reman selama tujuh hari.

Difahamkan, mangsa yang beralamat di Taman Sri Aman, Masjid Tanah mula menyewa di rumah berkenaan sejak enam bulan lalu, manakala suaminya menetap di Kuala Lumpur.

Hasil laporan bedah siasat kemudian membuktikan terdapat 14 kesan tikaman termasuk satu menembusi pembuluh darah utama pada tubuh wanita malang itu.

Mangsa mengalami 14 luka tikaman iaitu tiga di muka, 10 di dada, lengan dan tangan serta satu tikaman pada betis kanannya selain kesan luka hiris pada bahagian dada dan tangan kiri serta kesan lebam di bahagian dahi si mati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast