KUALA LUMPUR – Seramai lima individu disyaki pemilik keldai akaun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan penipuan pelaburan TriumphFX.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada tahun lepas dan awal tahun ini.
“Pasukan penyiasat sedang mengesan suspek utama kes itu.
“Siasatan sedang dilengkapkan, justeru, tidak timbul isu bahawa pihak polis tidak menyiasat skim pelaburan tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, pihaknya menerima 80 laporan membabitkan kerugian RM24,813,086.47 berkaitan penipuan pelaburan itu.
“Siasatan setakat ini mendedahkan skim pelaburan itu telah dimulakan sekitar tahun 2019 lagi dengan menjanjikan keuntungan sebanyak tujuh peratus sebulan,” ujarnya.
Beliau berkata, pelabur yang berminat dikehendaki memuat turun aplikasi pelaburan yang ditetapkan.
“Mereka boleh memantau serta melihat prestasi pelaburan tersebut.
“Masalah mula timbul apabila syarikat tersebut telah menukar pelaburan mereka kepada pelaburan kripto tanpa persetujuan pihak pelabur,” katanya.
Tambah beliau, pelabur juga hanya dapat melihat paparan keuntungan dari aplikasi tanpa boleh mengeluarkan wang tersebut.
“Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melakukan semakan sewajarnya sebelum melabur.
“Para pelabur perlu memastikan syarikat tersebut dilesenkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat pembayaran pertama.
“Ini penting bagi memastikan pelaburan anda selamat dan dilindungi di bawah undang-undang di negara ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 77 individu mendakwa, menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan menggunakan kira-kira 30 syarikat berperanan sebagai ‘local depositor’.
Mangsa mendakwa, syarikat itu berdaftar di Seychelles, Afrika, mencari mangsa melalui ejen dan wakil-wakil syarikat dan membuat penerangan secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus sebulan. – MalaysiaGazette