KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 secara sebulat suara dalam usaha mereformasi dan menambah baik institusi demokrasi utama negara.
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992 bertujuan menubuhkan perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti berasingan daripada perkhidmatan awam.
Semalam RUU itu yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selepas RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 selepas dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.
RUU berkenaan bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan perkhidmatan Parlimen dan Majlis Perkhidmatan Parlimen serta pentadbiran perkhidmatan Parlimen dan perkara berkaitan.
Antara perkara yang terkandung dalam RUU itu termasuk penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) dengan berperanan melantik anggota perkhidmatan Parlimen, memantau semua perkara kewangan berkaitan perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan yang berkaitan.
zalina Othman berkata, RUU itu bersifat organik selain memberi jaminan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun apa yang lebih penting untuk menentukan kesimpulan Parlimen Malaysia sebagai sebahagian daripada ketelusan untuk bergerak ke arah kebebasan profesionalisme dan berfungsi sebagai badan legislatif berkesan.
“Ahli Parlimen dan kita yang membuat undang-undang serta isu yang dibawa ini akan kita kendalikan dari semasa ke semasa.
“Ini akan memberi maksud sebenar selepas kelulusan RUU ini, (Parlimen) akan bergerak ke arah kebebasan profesionalisme dan berfungsi sebagai badan legislatif serta sangat sangat berkesan,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di sini hari ini.
Dalam RUU itu, Bahagian III memperkatakan peruntukan mengenai Setiausaha Dewan Negara (SUDN) dan Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR).
Fasal 6 bertujuan memperuntukkan SUDN dan SUDR hendaklah berada di bawah arahan dan kawalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Fasal sama juga bertujuan mengadakan peruntukan bagi Yang di-Pertuan Agong menetapkan kelayakan untuk lantikan dan syarat perkhidmatan SUDR serta SUDR selepas berunding dengan Majlis Perkhidmatan Parlimen.
Fasal 12 pula menghendaki kerajaan memperuntukkan dana tahunan mencukupi bagi perkhidmatan Parlimen untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.
Selain itu, fasal 13 bertujuan mengadakan peruntukan bagi saraan dan faedah lain kepada anggota perkhidmatan Parlimen.
RUU berkenaan akan membabitkan kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang jumlahnya belum ditentukan ketika ini.
Akta itu membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, melaksanakan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya. – MalaysiaGazette