Hantaran Facebook Kementerian Kewangan.

KUALA LUMPUR – Bayaran bantuan tunai Budi Madani RM200 bagi permohonan bulan Februari, disalurkan kepada penerima yang layak hari ini.

Jadual tarikh pembayaran bagi tahun 2025 dikongsikan oleh Kementerian Kewangan dalam hantaran melalui laman Facebook.

“Kami kongsikan tarikh bayaran bantuan tunai secara bulanan RM200 Budi Madani bagi tahun 2025.

“Bagi yang belum memohon, anda boleh semak kelayakan dan daftar pada bila-bila masa. Permohonan dibuka sepanjang tahun dan tiada tarikh tutup,” menurut hantaran itu.

Hantaran Facebook Kementerian Kewangan.

Sebelum ini bantuan tunai Budi Madani bagi permohonan bulan Januari disalurkan kepada penerima pada 6 Februari lalu.

Menurut hantaran itu, tarikh pembayaran berikutnya ditetapkan pada 11 April, 9 Mei, 6 Jun, 7 Julai, 8 Ogos, 8 September, 8 Oktober, 7 November, 5 Disember dan 9 Januari 2026.

Budi Madani terbahagi kepada tiga kategori iaitu Budi Individu, Budi Agri-Komoditi dan MySubsidi Diesel.

Budi Individu merujuk kepada bantuan subsidi tunai RM200 sebulan untuk pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak.

Budi Agri-Komoditi pula bantuan kepada petani dan penternak bagi meringankan kos bahan api dan operasi pertanian.

MySubsidi Diesel adalah permohonan pembayaran balik sementara bagi pemohon Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) yang masih menunggu kelulusan fleet card.

Budi Madani diperkenalkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan.

Kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu terus mendapat subsidi bagi mengawal harga barangan manakala individu terpilih diberikan bantuan tunai bagi membendung kenaikan kos sara hidup.

Untuk makluman, pemohon boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang dibuka sepanjang tahun.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, orang awam diminta melayari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan Budi Madani 1-800-88-2747/03-88824565/03-88824566 atau secara e-mel di alamat [email protected]. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast