Seniwati, Datuk Sarimah Ahmad ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette pada kunjungan hormat di Subang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 14 MAC 2025.

SUBANG JAYA – Seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad, 82 meluahkan hasratnya untuk bertemu empat mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pemimpin tersebut yang turut membantunya menamatkan isu empat filemnya yang sebelum ini menjadi tanda tanya setelah puluhan tahun.

“Saya tidak dapat membalas budi hanya Allah sahaja yang membalas budi memberinya kekuatan menghadapi ujian daripada Allah.

“Saya tidak pernah jumpa beliau berdepan, cuma sekali masa saya buat penggambaran Ranjau Sepanjang Jalan, saya tidak tengok muka dia,” katanya.

Seniwati yang cukup dikenali dengan filem Madu Tiga itu terdahulu menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di kediamannya di Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifudin Mutalib dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

Kunjungan tersebut memberikannya khabar gembira di bulan mulia ini apabila beliau dimaklumkan filem terbitan syarikat produksinya bakal kembali ke tangannya semula.

Ia susulan inisiatif anak perempuannya, Yusarima Yusof, 53 menghubungi Anwar memintanya campur tangan dalam isu tersebut.

Sementara itu, Nie Ching memaklumkan akan mengaturkan pertemuan Perdana Menteri dengan Anwar kelak.

Berkongsi tentang tahap kesihatannya, Sarimah memaklumkan sebelum ini beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital selepas mengalami muntah-muntah yang teruk.

Namun beliau bersyukur kerana tahap kesihatannya kini beransur pulih.

Sarimah pernah diuji dengan kanser hidung pada 2011 dan kanser usus pada dua tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast