Situasi terkini mangsa-mangsa kebakaran paip gas Putra Heights ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pusat Penempatan Sementara Putra Heights, Subang Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 04 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggerakkan seluruh kepakarannya bagi membantu mangsa yang terkesan dengan tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, berhadapan dengan trauma ekoran insiden itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pasukan di bawah KPT melibatkan anggota perubatan dari universiti-universiti yang mempunyai hospital, dihantar segera.

“Bantuan termasuk khidmat kaunseling, perubatan dan juga bantuan kemanusiaan diberi kepada mangsa-mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

“Kita juga menghantar pasukan psikologi bagi membantu mereka berhadapan dengan trauma. Mereka mengendalikan bukan hanya orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak.

“Selain itu, kita turut menghantar satu pasukan daripada Siswa MADANI.

“Sukarelawan-sukerelawan ini kita himpunkan dari pelbagai universiti di seluruh negara termasuk dari Sarawak,” katanya kepada wakil media  selepas melawat PPS di sini hari ini.

Menurutnya, KPT turut mengenal pasti pelajar-pelajar yang terkesan dengan insiden tersebut di mana bantuan yang diberikan bukan sekadar dalam bentuk wang tunai, tetapi juga meliputi aspek-aspek lain seperti kemudahan komputer untuk pengajian mereka serta urusan pendaftaran.

“Setakat ini kita mempunyai seramai sembilan pelajar yang terlibat. Kita bersiap sedia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan.

“Ia bukan setakat bantuan dalam bentuk tunai tetapi pendaftaran mereka juga pada Isnin nanti boleh dilonggarkan sedikit sekiranya ada kesulitan untuk mereka bergerak.

“Saya juga sudah maklumkan kepada pihak universiti supaya tempoh mereka mendaftar itu dapat dilanjutkan,” jelas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast