PUTRAJAYA – Penangguhan pelaksanaan tarif kepada kebanyakan negara bagi tempoh 90 hari memberi sedikit kelegaan kepada Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malaysia terbabit (dalam penangguhan), melegakan sebentar,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini, hari ini.
Malaysia merupakan antara 75 negara yang diberi penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dilaporkan, pasaran saham global melonjak berikutan pengumuman terbaharu itu.
Namun, langkah itu tidak termaktub untuk China, malah AS terus meningkatkan tekanan terhadap negara itu.
Keputusan tersebut dibuat dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kadar tarif baharu dilaksanakan oleh pentadbiran Trump yang menyaksikan pasaran saham dunia merudum. – MalaysiaGazette