KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengarahkan Pemuda UMNO Pahang untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui.
Beliau mendakwa, Yu Hui yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) telah menghalang penjawat awam Negeri Pahang menjalankan tugas dalam insiden yang berlaku semalam.
“Saya juga telah mengarahkan Pemuda UMNO Pahang yang diketuai Saudara Kamil untuk buat satu laporan polis ke atas YB Chow kerana menghalang tugas-tugas penjawat awam.
“Kepada penjawat awam negeri Pahang dalam insiden itu, setinggi-tinggi hormat saya kepada kamu semua kerana telah menjalankan tugas dengan baik sekali tanpa ada sebarang kekacauan. Walaupun ada orang yang menengking ketika itu, kamu tetap tenang,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, sebagai wakil rakyat Yu Hui tidak seharusnya bertindak melebihi undang-undang.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, mahkamah telah membuat keputusan tindakan pekebun menanam pokok durian di tanah kerajaan negeri merupakan satu pencerobohan.
“Negara ini ada undang-undang, bukan ikut undang-undang kamu. Maka patut dan wajib kita ikut undang-undang. Siapa kamu, kita tak kisah. Yang penting, kamu perlu ikut undang-undang yang sedia ada. Hormat tanah negeri Pahang. Jangan sesuka hati saja nak membela penceroboh,” katanya.
Semalam berlaku pertembungan antara pekebun durian haram dengan kakitangan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam usaha menghalang pihak berkuasa menebang pokok durian Musang King di Sungai Klau.
Kumpulan tersebut hadir di kawasan itu bagi mendesak tuntutan mereka agar tindakan menebang pokok-pokok durian dihentikan serta-merta.
Rakaman video yang tular turut memaparkan memaparkan aksi perang mulut antara pihak Samka dan anggota penguat kuasa.
Pekebun terbabit mendakwa Kerajaan Negeri melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King.
Bagaimanapun Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Saiful Edris Zainuddin mendakwa, operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa kerajaan negeri bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah serta polis itu tidak terikat dengan mana-mana perintah mahkamah.-MalaysiaGazette