KUANTAN – Satu laporan polis dibuat hari ini berikutan tular rakaman video di media sosial yang memaparkan beberapa orang lelaki memukul seekor binatang dipercayai anjing.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian dilaporkan berlaku di Taman Mentakab Indah, Temerloh petang semalam.
“Saksi kejadian yang merakam video tersebut telah tampil membuat laporan polis dan laporan itu kita rujuk ke Majlis Perbandaraan Temerloh (MPT),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mazlan, ketika kejadian, saksi memberitahu terdapat lima lelaki memukul seekor anjing menggunakan kayu yang mengakibatkan anjing tersebut mati.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya menerima satu laporan polis dibuat seorang lelaki pada jam 9 pagi semalam mendakwa telah digigit seekor anjing berwarna coklat kehitaman sehingga luka dan bengkak di bahagian kiri kaki.
Laporan itu katanya, telah diajukan kepada Bahagian Perkhidmatan dan Perbandaran (MPT) untuk tindakan lanjut.
“Kes penganiayaan anjing itu akan disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atau Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015,”kata Mazlan. – MalaysiaGazette
















