TANGKAK – Akibat percaya dengan pengamal perubatan tradisional seorang warga emas diperdaya RM445,000 semasa mendapatkan rawatan kerana keluarganya diganggu makhluk halus.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa iaitu lelaki berusia 70 tahun semalam.
“Mangsa ditawarkan untuk mendapatkan khidmat rawatan tradisional dan telah menyerahkan sejumlah wang tunai dan barangan kemas kepada suspek dengan anggaran RM445,000.
“Wang tunai dan barang kemas berkenaan diserahkan sekitar bulan Mac hingga April 2024. Mangsa pada mulanya percaya rawatan perubatan itu sahih disebabkan suspek merupakan kenalannya,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan atau denda.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya serta diseru membuat semakan terlebih dahulu atas sesuatu tawaran sebagai langkah berhati-hati.- MalaysiaGazette
















