Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menyantuni komuniti Cina sebagai sebahagian siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Pasar Awam Ayer Kuning, Tapah, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 APRIL 2025.

TAPAH – Calon Barisan Nasional (BN) menerima respons yang baik dalam kalangan pengundi Cina pada sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri berkata, perkara itu diterima hasil turun padang beliau ketika menyantuni pengundi terutama mereka dalam kalangan bukan Melayu.

Kata beliau, dianggarkan sebanyak 50 peratus kawasan DUN Ayer Kuning meliputi kawasan pengundi Melayu dan bukan Melayu telah dilawati beliau tempoh berkempen yang memasuki hari keempat.

Ustaz Yusri berkata, justeru beliau berharap momentum positif yang diterimanya dapat berterusan sehingga tiba ke hari pengundian 26 April nanti.

“Semakin ramai pengundi-pengundi bukan Melayu terutama mereka yang daripada komuniti Cina mengenali saya.

“Mereka memberikan penerimaan yang baik. Hasil turun padang saya ke pasar, atau ke majlis-majlis, mereka sangat memahami untuk menerima BN sebagai parti pilihan mereka pada PRK ni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada siri kempen beliau bersempena PRK DUN Ayer Kuning di Pasar Awam Ayer Kuning, dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Mengulas lanjut Ustaz Yusri berkata, beliau sedaya upaya menyusun segala strategi dalam usaha untuk memenangi hati pengundi baik dalam kalangan Melayu mahupun pengundi bukan Melayu.

“Kita telah melawat banyak kawasan, dan kita akan teruskan lebih berlipat kali ganda usaha untuk memastikan bahawa penerimaan mereka terhadap BN akan terus rancak,” katanya lagi.

Sementara itu Hang Soon berkata, jentera MCA telah digerakkan ke semua kawasan pengundi Cina sebagai usaha untuk memenangkan Ustaz Yusri di DUN Ayer Kuning.

Katanya lagi, pihaknya juga sedang berusaha sebaik mungkin bagi menarik lebih ramai pengundi luar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Paras sokongan pengundi Cina di Ayer Kuning kepada BN bukan masalah besar, cuma cabaran pada kali ini ialah kekhuatiran kita terhadap mereka yang tidak pulang kerana baru sahaja meraikan Perayaan Qingming,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here