KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif Warisan KL, Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI merupakan langkah penting untuk membugar semula nadi ibu kota Kuala Lumpur bukan sekadar aspek fizikal, tetapi juga melalui pemuliharaan budaya, sejarah dan pengukuhan nilai komuniti.
Menurut Perdana Menteri, projek itu yang akan dilancarkan beliau esok, menjadi pemangkin kepada pembangunan berteraskan warisan, kreativiti dan penglibatan komuniti.
Katanya, ia juga bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar kreatif dan berkebudayaan yang bukan sahaja membina bangunan, tetapi juga membina jiwa dan jati diri warganya.
“Warisan KL adalah lambang pemulihan jiwa kota, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berasaskan nilai dan peradaban,” katanya seperti disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Menurut Anwar, sejak awal pentadbirannya, beliau sering menegaskan bahawa pembangunan tidak harus diukur semata-mata dengan pencakar langit atau projek-projek mega, tetapi dengan apa yang dapat menyentuh kehidupan rakyat, membina kota yang hidup, inklusif dan bermakna.
Katanya, Warisan KL adalah manifestasi nyata prinsip itu yang membina masa depan tanpa meminggirkan akar dan nilai.
“Lebih penting diutamakan usaha mengukuhkan nilai, budaya dan warisan negara, agar dapat dimanfaatkan rakyat jelata serta untuk dinikmati pelancong,” katanya.
Tambah beliau, usaha kerajaan untuk memulihara dan memelihara tapak-tapak warisan sejarah sebagai tidak hanya menekankan aspek sejarah tetapi untuk membangkitkan rasa cinta dan kasih kepada warisan sejarah negara, harus dilihat sebagai pelaburan kerajaan untuk dijadikan mercu pelancongan yang akan membawa limpahan hasil pada rakyat dan negara.
“Kerajaan tidak akan sesekali membiarkan atau mengambil sikap sambil lewa terhadap mercu tanda sejarah yang punyai maksud yang signifikan kepada pembangunan negara,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, majlis pelancaran inisiatif tersebut esok turut menghimpunkan pelbagai rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); Think City; Khazanah Nasional Bhd; syarikat berkaitan kerajaan (GLC); syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pemain seni dan budaya dengan komitmen menjadikan Kuala Lumpur kota milik semua dan cerminan jati diri bangsa. – MalaysiaGazette