KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) wajar mempertimbangkan semula langkah menamatkan kawalan harga dan subsidi telur ayam kepada industri pengeluar telur secara berfasa bermula hari ini.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Ir Lawrence Low berkata, penarikan sepenuhnya subsidi telur ayam sebanyak RM0.10 sebiji bermula 1 Ogos depan akan menaikkan perbelanjaan isi rumah lima orang sebanyak RM15 sebulan mengambil kira pengambilan purata sebiji telur sehari untuk seorang.
Jelasnya, kerajaan perlu diingatkan subsidi diberi bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan Ukraine-Rusia yang menyebabkan harga import jagung dan soya melonjak.
Sehubungan itu, tambah beliau, alasan kerajaan bahawa kos pengeluaran telah stabil adalah tidak munasabah kerana bukan sahaja peperangan masih berterusan, malah negara juga terpaksa menghadapi ketidaktentuan akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
“Kerajaan harus berterus terang sekiranya menghadapi masalah kemampuan susulan peningkatan hutang negara yang telah mencecah RM45.3 bilion setakat hari ini.
“Adakah rakyat kena menanggung dan membayar hutang negara yang dibuat oleh kerajaan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Lawrence yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA turut mempersoalkan ke mana hasil kutipan cukai SST yang telah meningkat dari 6 peratus kepada 8 peratus.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan ke mana hasil kutipan cukai-cukai baharu yang diperkenalkan serta kemasukan berbilion pelaburan asing yang didakwa diterima kerajaan.
“Kenapa hutang negara meningkat mendadak dan rakyat pula kena menanggungnya? Mana hilangnya formula-formula untuk menangani perkara ini?
“Saya yakin persoalan dan kritikan sama akan dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan sekiranya mereka bergelar pembangkang hari ini,” katanya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan memutuskan untuk menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi bagi telur ayam bermula 1 Ogos ini.
Menurut KPKM, kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya. – MalaysiaGazette