Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terbabit kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Jemaluang, Risda Sungai Ambat, Mersing, hari ini.

MERSING – Lima lelaki dan seorang wanita cedera manakala 46 penumpang bas terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, dua lori dan sebuah kereta di Jalan Jemaluang, Risda Sungai Ambat, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.38 pagi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shamsuri Shafai berkata, lapan  dengan kekuatan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 31 kilometer dan tiba pada pukul 6.04 pagi.

“Kemalangan membabitkan sebuah bas Mutiara yang membawa 46 penumpang, dua buah lori muatan 52 tan serta sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki empat orang.

“Seorang pemandu Perodua Alza didapati tersepit dalam kenderaan dan anggota pasukan bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke hospital dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, dua pemandu lori turut mengalami kecederaan, manakala semua 46 penumpang bas dilaporkan selamat.

Katanya operasi juga ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.50 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast